Wednesday, September 15, 2010

Anggota keluarga reda dengan pemergian Sosilawati

KUALA LUMPUR: Anggota keluarga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya reda dengan pemergian beliau sekiranya mangsa yang dilaporkan ditemui di Ladang Gadong, Tanjong Sepat hari ini disahkan sebagai Sosilawati.

Polis hari ini mengesahkan Sosilawati, 47, dan tiga orang lagi mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, berkata mereka sekeluarga berharap mangsa yang ditemui itu bukanlah ibu mereka, namun akan terus melakukan solat sunat ghaib.

"Saya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan untuk mak saya dan tiga orang yang lain," katanya kepada pemberita di kediamannya di Taman Harmonis Gombak di sini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menyatakan beliau berkemungkinan mengeluarkan kenyataan esok.

Anak keempat Sosilawati yang mahu dikenali sebagai Rina berkata dia ingin melihat sendiri sekiranya yang dijumpai itu adalah mayat ibunya.

"Kalau betul mak tak ada lagi bawa dia tunjuk depan Rina. Abah... cari mak abah," katanya sejurus menonton sidang media mengenai kematian ibunya yang disiarkan menerusi televisyen hari ini.

Tinjauan ke kediamannya mendapati anggota keluarga Sosilawati dari Johor sudah berkumpul sejak malam semalam dan bekas suami pertamanya yang dikenali sebagai Buhari dilihat memasuki perkarangan kediaman itu kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Sosilawati dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak hampir dua minggu lepas semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Sementara itu, bekas vokalis kumpulan Lefthanded, Nashrudin Elyas atau Nash yang juga bekas suami Sosilawati, berkata jika berita mengenai pemergian Sosilawati itu benar, ternyata ia adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Saya tidak tahu kenapa ada manusia yang kejam sampai sebegitu, sanggup membunuh... sepatutnya benda ini tidak boleh berlaku dalam negara kita yang aman ini," katanya ketika dihubungi.

Nash berkata, beliau juga ada menghubungi anak-anak Sosilawati sejak berita kehilangannya dilaporkan media, namun panggilannya itu tidak berjawab.

"Hari pertama berita mengenai dia dilaporkan hilang, saya ada call anak-anak dia, tetapi tidak berangkat. Pagi tadi juga selepas dengar berita dia dipercayai mati dibunuh, saya ada juga call lagi anak-anak dia, tetapi masih juga tidak berjawab," katanya sebak.

Ketika, ditanya sama ada beliau akan melawat anggota keluarga Sosilawati, Nash berkata beliau tidak berkesempatan berbuat demikian kerana kini berada di Sabah atas urusan kerja.

Katanya, walaupun jodoh beliau dengan jutawan kosmetik itu tidak mampu bertahan, namun mereka tidak pernah berdendam dan beliau masih rapat dengan anak-anak bekas isterinya itu.

"Saya memang berniat untuk melawat anak-anaknya dalam masa terdekat selepas urusan kerja saya di sini selesai. Saya memang baik dengan anak-anak dia terutamanya Fatimah (Siti Nur Fatimah) dan anggap anak-anak dia seperti anak-anak saya sendiri, tiada bezanya," kata Nash yang tidak dapat menahan kesedihan.

Katanya, beliau begitu sedih dan bersimpati bukan sahaja dengan anggota keluarga bekas isterinya itu malahan juga kepada anggota keluarga tiga lelaki yang turut hilang.

"Saya amat sedih mendengar berita ini. Apalah nasib anak-anak dia (Sosilawati) dan ahli keluarga tiga (rakan Sosilawati) yang lain. Saya ucapkan takziah kepada mereka," katanya.

Sementara itu, kaum keluarga Noorhisham pula percaya bahawa pegawai bank itu masih hidup.

"Saya masih menunggu panggilan untuk pengesahan forensik, selagi itu saya masih percaya menantu saya masih hidup," kata Radin Pangat Ishak, 66, bapa mentua mangsa di rumah mangsa di Ampang hari ini.

Radin berkata, menantunya seorang yang komited terhadap kerjayanya dan sangat berdedikasi dalam segala urusan kerja.

Isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangat, 38, yang juga seorang pegawai bank CIMB di ibu pejabat bank berkenaan, enggan mengulas perkembangan kes itu ketika ditemui pemberita.-Bernama

No comments:

Post a Comment