KUALA LUMPUR: Kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya tidak menjejaskan perniagaan produk kecantikan Nouvelles Visages (NV) yang diasaskannya sejak 13 tahun lalu.
Malah, stokis produk terbabit yang dihubungi di seluruh negara, termasuk Brunei, menyatakan produk kecantikan syarikat terbabit terus mendapat permintaan hangat daripada pelanggan setia mereka.
Stokis di Ipoh, Perak, Chi Yah Yuan, 46, berkata perniagaan produk tidak terjejas, malah pelanggan setia terus membuat tempahan walaupun negara dikejutkan dengan pembunuhan kejam pengasas itu dan tiga lagi mangsa lain.
“Malah hari ini (semalam), saya ada di Kuala Lumpur untuk mengambil stok barangan kecantikan Nouvelles Visages. Produk keluaran syarikat ini disukai ramai tanpa mengira bangsa,” katanya yang menjadi stokis hampir dua tahun lalu.
Secara peribadi, katanya, dia mengenali Sosilawati sebagai seorang yang baik hati dan mudah mesra dengan sesiapa saja.
Pemilik stokis kecantikan Mahani Ima Beauty House berpusat di Batu Bersurat, Brunei yang dikenali sebagai Nia, 37, berkata jualan produk NV terus mendahului produk kecantikan lain sejak mula dipasarkan lapan tahun lalu kerana pengguna yakin dengan keberkesanan produk.
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pelanggan yang berkunjung ke stokisnya untuk mendapatkan produk NV akan bertanya mengenai kes itu selepas mengikuti perkembangannya melalui media di sana.
“Turun naik jualan produk perkara biasa. Sudah menjadi adat berniaga. Tentu ada persaingan daripada produk lain. Namun secara keseluruhannya, kes pembunuhan Sosilawati tidak mempengaruhi jualan produk kecantikan NV di sini,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, di sini, semalam.
Sosilawati, 47; pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah ladang di Banting, Selangor sebelum abu mereka dibuang ke dalam Sungai Panchau, pada 30 Ogos lalu.
Pemilik stokis Raihanaz, Raihan, 37, berkata kes pembunuhan itu tidak memberi kesan kepada jualan produk kecantikan NV di Kota Tinggi, Johor.
“Produk NV memiliki pelanggan setia, jadi penjualan produk ini tidak tergugat sama sekali. Malah kami semua, termasuk pelanggan, bersimpati dengan keluarga Sosilawati,” katanya.
Pemilik Citra Anggun Beauty di Puchong Perdana, Selangor yang enggan dikenali berkata, penjualan produk NV stabil kerana ia dikenali umum sekian lama.
“Saya orang terawal menjual produk NV dan kenal rapat dengan Sosilawati. Berita kematiannya sungguh memilukan dan mengejutkan pengusaha stokis kecantikan. Namun, apa yang boleh saya katakan, setakat ini jualan produk tidak bermasalah,” katanya.
Tinjauan di ibu pejabat NV di Jalan Raja Bot, Kampung Baru, di sini, semalam turut mendapati premis berkenaan terus dikunjungi pelanggan.
No comments:
Post a Comment