KUANTAN: Ibu Kamaruddin Shamsuddin, pemandu jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, masih mengharapkan penemuan tragis keempat-empat mangsa bunuh yang dibakar dan dibuang abunya ke dalam sungai, tidak membabitkan anaknya.
Namun Zainab Ahmad, 73, tetap pasrah dan redha sekiranya perkara itu benar-benar menimpa anak.
"Saya berharap itu bukan dia (Kamaruddin), tapi kalau dia, saya reda," katanya sebak ketika ditemui pemberita di rumahnya di Indera Mahkota 2 di sini.
Polis hari ini mengesahkan Sosilawati, 47, dan tiga yang lain termasuk Kamaruddin, 44, mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, Banting, Selangor.
Dua lagi ialah pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Sosilawati iaitu Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Sementara itu, anak saudara Kamaruddin, Khairul Izwan Ismail, 29, berkata, dia ada menghubungi mangsa pada hari kejadian.
Katanya, dia menghubungi bapa saudaranya itu pada sebelah petang 30 Ogos lalu kerana ingin bermalam di rumah Kamaruddin pada hari berkenaan.
Bagaimanapun, Kamaruddin memaklumkan bahawa dia tidak berada di Kuala Lumpur sebaliknya di Banting bersama majikannya.
"Saya mengambil keputusan bermalam di rumah rakan di Kuala Lumpur dan menunggu panggilan balas daripada bapa saudara saya, tetapi tiada jawapan," katanya.
Abang ipar Kamaruddin, Ismail Ibrahim, 59, pula berkata dia menerima panggilan daripada polis Bukit Aman kira-kira 2 petang tadi yang memaklumkan mengenai penemuan tragis itu.
Beliau berkata, adik iparnya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika pulang ke Kuantan baru-baru ini, malah sikapnya adalah seperti biasa.
"Dia kerap pulang ke Kuantan kerana mempunyai perniagaan studio muzik yang mana, sebulan sekali dia akan pulang ke sini," katanya.
Ismail berkata, Kamaruddin sebelum ini pernah bertugas sebagai jurutera bunyi di sebuah syarikat rakaman di Kuala Lumpur, sebelum bekerja dengan Sosilawati sejak empat tahun lalu.
"Dia seorang yang begitu mengambil berat tentang keluarga," katanya.-Bernama
No comments:
Post a Comment