KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Lefthanded, Nash yang juga bekas suami kepada Datuk Sosilawati Lawiya, berharap semua enam anak ahli perniagaan berusia 47 tahun itu tabah dan kuat menghadapi kenyataan bahawa ibu mereka sudah kembali ke rahmatullah.
Katanya, dia akan menghubungi salah seorang anak Sosilawati bagi memberi kata semangat dan berharap mereka tabah berhadapan dengan dugaan ini.
“Saya kini di Sabah dan mungkin tak dapat menghadiri majlis pengebumian itu, tapi saya berharap roh arwah ditempatkan di kalangan orang solehah.
“Kepada anak-anak, saya ucapkan takziah yang amat sangat. Saya sedar berita ini tentu mengejutkan, malah saya sendiri terharu dan sedih yang mendalam terhadap apa yang berlaku.
“Ketika ini hanya doa saja dapat mengiringinya termasuklah tiga mangsa lain yang turut ditimpa musibah sama. Semoga mereka dilindungi Allah,” katanya.
Ditanya bagaimana memperoleh berita itu, Nash berkata dia mengikuti perkembangan kehilangan Sosilawati sehingga membawa kepada penemuannya menerusi media massa.
No comments:
Post a Comment