Wednesday, September 15, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Minta laporan lebih berhemah, jaga batasan

KUALA LUMPUR: Media diingatkan supaya mengamalkan kekangan dan lebih berhemat serta tidak melampaui batas hingga menggugat keadilan ketika melaporkan siasatan mengenai kehilangan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dalam satu kenyataan melahirkan pandangan berat mengenai laporan sedemikian, terutama akhbar arus perdana.

“Adalah dikesalkan, sesetengah pendedahan ini, khususnya butiran tentang bagaimana mangsa menemui ajal mereka semata-mata spekulasi,” katanya.

Beliau berkata, pengamal media harus ingat tentang tanggungjawab mereka.

“Tidak harus wujud perbicaraan menerusi media terhadap mereka ditangkap. Dengan menyebut sumber polis bagi bahan berita mereka juga tidak membantu.

“Malah, pemberita dan editor mungkin dipanggil untuk memberi penjelasan atau menyatakan kewajaran berita mereka di mahkamah undang-undang,” kata Mohd Bakri.

“Begitu juga, mereka tidak harus menyiarkan sesuatu, yang kemudian boleh digunakan sebagai bukti jika berlaku perbicaraan terhadap orang atau orang-orang yang bertanggungjawab terhadap kematian Datuk Sosilawati dan tiga yang lain itu.

“Saya akui, ini kes kepentingan awam. Datuk Sosilawati seorang usahawan wanita berjaya. Orang ramai berhak tahu apa yang berlaku kepada mereka dan apa yang dilakukan polis untuk membawa pelaku kesalahan ke muka pengadilan.

“Kami tidak mempunyai masalah dengan media menyiarkan berita kerana itu bidang mereka, tetapi saya ingin mengingatkan mereka mengamalkan kekangan dan lebih berhemat serta tidak melampaui batas hingga menggugat keadilan,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment