Wednesday, September 15, 2010

Henti sebar khabar angin

KUALA LUMPUR: “Kami mengharapkan dia (Datuk Sosilawati Lawiya) akan kembali. Semua anak kakak merinduinya, lebih-lebih lagi dalam sambutan Aidilfitri,” kata Masturi Lawiya, 42, adik kepada jutawan kosmetik itu yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.
Masturi berkata, mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri sekadar bersederhana saja tanpa sebarang persiapan kelmarin.

“Isteri saya memasak sedikit makanan, seperti sambal goreng, lontong dan ayam rempah. Itupun untuk meraikan mereka bagi menyambut raya.

“Kami sangat merindui kakak. Anaknya, terutama yang paling bongsu, Siti Fatimah Buhari, 12, bermuram saja sepanjang raya ini.

“Apapun, saya percaya kakak masih selamat dan akan kembali bersama kami nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengenai perkembangan lanjut Sosilawati, Masturi berkata, polis meminta pihaknya bersabar dan menunggu perkembangan lanjut dalam tempoh terdekat.

“Kami serahkan kepada polis dan meminta supaya tiada khabar angin yang boleh memburukkan lagi keadaan ditimbulkan,” katanya.

Di BATU PAHAT, kakak Sosilawati, Rosnani, 45, meminta pelbagai pihak berhenti membuat spekulasi.

“Kami sekeluarga cukup tertekan dengan kehilangannya, inikan pula ditambah berita angin berhubung penemuan mayat,” katanya.

Katanya, keluarga, terutama ibu, Yatmah Abdul Rahman, 80, sangat sedih dan kini penderitaan mereka bertambah dengan khabar angin mengatakan penemuan jenazah kakaknya.

“Kami semakin tertekan kerana pelbagai versi khabar angin tersebar luas, termasuk membabitkan penemuan mayat kakak, walaupun hingga kini belum terbukti kebenarannya. Bayangkan banyak pihak, termasuk saudara mara, menghubungi kami bagi mengesahkan berita angin itu.

“Hati kami di kampung bagaikan punah sama sekali, bayangkan perasaan anak Kak Wati, sedangkan kami sekeluarga masih menaruh keyakinan dan selalu doa supaya kak Wati selamat.

“Terus terang, kami adik beradik tidak sampai hati jika ibu terdengar khabar berkenaan kerana ibu yang cepat lupa membuatkannya sering bertanya sama ada Kak Wati akan pulang berhari raya atau tidak, sedangkan jawapan kami sama iaitu kakak hilang,” katanya.

Menurutnya, mereka adik beradik mengunjungi anak Kak Wati di Kuala Lumpur mulai malam semalam.

“Saya bawa semua kerepek termasuk tumpi, rempeyek dan kerepek pisang yang sering diminta Kak Wati. Selalunya, Kak Wati akan membawa pulang kerepek ini tetapi kali ini, saya pula membawanya ke sana,” katanya.

Sementara itu, Yatmah ketika ditemui di rumahnya tidak putus-putus mendoakannya keselamatan Sosilawati setiap kali diberitahu bahawa anaknya hilang sejak hampir dua minggu lalu.

Sosilawati dilaporkan hilang bersama pemandu peribadinya, Kamarudin Sansudin, 44, pegawai bank CIMB yang juga penasihat kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Karim, 32, sejak 30 Ogos lalu.

Pengasas produk kecantikan Novelle Visages itu keluar meninjau projek di Banting.

No comments:

Post a Comment